Monday, 15 February 2016

Faktor-faktor Penyebaran Agama Islam ke Tanah Melayu



  • Faktor Perdagangan :

Para pedagang memang memainkan peranan penting dalam penyebaran Islam di Tanah Melayu. Para pedagang Arab, India, Parsi memang mempunyai kegiatan perdagangan di Tanah Melayu sejak abad ke 8 atau 9 Masihi. Peranan mereka dalam penyebaran Islam ini dapat dibahagikan kepada dua iaitu usaha mereka sendiri menyampaikan Islam kepada penduduk tempatan dan keduanya ialah melalui kemudahan yang mereka berikan kepada para pendakwah Islam menaiki kapal-kapal mereka untuk bergerak dari satu pelabuhan ke pelabuhan lain untuk berdakwah. Para pedagang Islam mempunyai peluang yang sebaik-baiknya untuk menyebarkan Islam melalui tiga saluran iaitu hubungan baik mereka dengan para penguasa pelabuhan, raja atau pembesar-pembesar tempatan. Selain itu, mereka mengahwini gadis-gadis tempatan dan menjalin hubungan baik dengan pedagang-pedagang lain yang datang dari berbagai-bagai kawasan di Nusantara. Di samping itu, pada abadabad 14, 15, 16, dan 17 Masihi menyaksikan bahawa kegiatan perdagangan amat menggalakkan sekali. Contohnya, pada abad ke-14 kerajaan Pasai, abad ke-15 kerajaan Melaka, dan pada abad ke-16 kerajaan Acheh merupakan pusat-pusat perdagangan yang mewarnai kegiatan perdagangan di Tanah Melayu. Kedudukan Tanah Melayu yang amat strategik membantu kerancakan perdagangan.


  • Faktor Ajaran Islam :

Kedatangan Islam ke Tanah Melayu terpaksa menghadapi persaingan agama Hindu yang telah bertapak selama 13 abad. Namun, semua aspek ajaran Islam itu mempunyai kelebihannya yang menyebabkan Islam mudah diterima oleh penduduk Nusantara. Salah satu kebaikan Islam ialah mudah difahami, tidak bertentangan dengan akal fikiran, sentiasa rasional dan amat sesuai bagi semua manusia pada segenap zaman dan tempat. Misalnya, dalam aspek sosial, Islam mengajarkan bahawa semua manusia adalah sama taraf dan manusia yang paling mulia di sisi Allah SWT ialah mereka yang paling bertakwa. Di samping itu, Islam memberikan jaminan dan keadilan sosial, menekankan persaudaraan Islam yang bersifat universal, tolong-menolong, hormat-menghormati, bersatu padu, dan lain-lain.


  • Faktor Ahli Tasawuf dan Pendakwah :

Ahli tasawuf dan pendakwah ialah ulama Islam yang kuat berpegang dan beramaldengan ajaran Islam. Akhlak mereka menyebabkan agama Islam masyhur dan mendapat sanjungan serta menarik minat penduduk Tanah Melayu. Mereka bukan sahajaberpakaian bersih dan tertib, tetapi semua tingkah laku dan tutur kata mereka amat menarik dan mempersonakan serta penuh dengan hikmah. Pada peringkat permulaannya, mereka dikatakan menghadapi tentangan sami-sami Hindu yang menggunakan berbagai-bagai ilmu sihir untuk mematahkan kegiatan dakwah danpengaruh Islam. Dengan pertolongan Allah SWT, mereka dapat menghadapinya. Oleh itu, orang ramai mudah mempercayai kebenaran ajaran Islam. Pada zaman kekuasaan Melaka, Acheh, dan Demak, para ahli tasawuf mempunyai pengaruh yang kuat dalam kalangan sultan dan pembesar-pembesar negara. Contohnya, pada zaman Acheh mereka memainkan peranan penting dalam urusan pemerintahan. Mereka menganggotai beberapa lembaga pemerintahan. Balai Gadang pada zaman pemerintahan Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam, telah dianggotai oleh 22 orang ulama terkenal di Acheh. Di samping itu, ulama-ulama luar yang datang ke Acheh seperti dari negeri-negeri Semenanjung Arab, Parsi, Turki, India, Gujerat, dan lain-lain telah menjadi penasihat kepada kerajaan dan guru-guru kepada institusi pengajian dan masjid-masjid.


  • Faktor Penaklukan :

Penaklukan juga tidak kurang pentingnya menjadi faktor penyebaran Islam di Tanah Melayu. Penaklukan yang dilakukan oleh sesebuah negara Islam ke atas daerah lain mendorong tersebarnya Islam dengan cepat. Jika daerah yang ditawan belum Islam maka melalui penaklukan itu para pembesarnya akan terpengaruh dengan Islam kerana motif politik, kedudukan, ekonomi, dan sebagainya. Jika daerah yang ditakluk itu telah Islam maka Islam dapat dikembang dengan lebih berkesan lagi. Contohnya, catatan Ibn Batutah membuktikan bahawa Kerajaan Pasai telah meluaskan kuasa politiknya ke daerah sekitarnya melalui peperangan lalu Islam tersebar luas di daerah tersebut. Melaka pula pada zaman kekuasaan Bendahara Tun Perak telah berjaya menakluki beberapa daerah di Tanah Melayu dan Sumatera seperti Pahang, Terengganu, Patani, Kampar, Inderagiri, Rokan, Siak, Johor, Bengkalis, dan lain-lain.


  • Faktor Kesusasteraan dan Penulisan :

Kesusasteraan dan penulisan juga menjadi faktor penting tersebarnya Islam di Tanah Melayu. Selepas kedatangan Islam, muncul tulisan jawi yang berasal daripada abjad huruf Arab. Dengan adanya tulisan tersebut maka bahasa Melayu berkembang dengan pesat sekali. Nahu dan perbendaharaan bahasa Melayu dilengkapkan dengan pengaruh unsur-unsur nahu dan kata-kata Arab hingga bahasa Melayu menjadi bahasa pengantar bagi sistem pelajaran dan pendidikan di Nusantara. Selain itu, berbagai-bagai bentuk sastera Arab seperti syair, sajak, nazam, dan sebagainya telah mempengaruhi bahasa Melayu. Akhirnya, lahir ramai tokoh pengarang Islam dalam kalangan para ulama yang gigih menghasilkan karya sastera yang berunsur Islam. Banyak kitab agama dikarang atau diterjemahkan ke bahasa Melayu. Karya terjemahan tentang kisah-kisah Nabi Muhammad SAW dan sahabat menarik minat dan perhatian penduduk Nusantara. Contohnya, Hikayat Nabi Bercukur, Hikayat Raja Khandak, Hikayat Nabi Wafat, Hikayat Nabi Mengajar anaknya Fatimah, Hikayat Nur Muhammad, dan sebagainya sering dibacakan kepada penduduk Nusantara.



  • Faktor Perkahwinan :

Perkahwinan turut menjadi faktor penting dalam penyebaran Islam di Tanah Melayu. Perkahwinan berlaku melalui dua cara iaitu perkahwinan antara saudagar Islam dengan gadis-gadis tempatan, terutama anak gadis pembesar atau kerabat diraja tempatan. Keduanya ialah perkahwinan antara raja dengan puteri raja daerah atau negeri lain. Contohnya, perkahwinan Merah Silu dengan puteri raja Perlak menyebabkan beliau memeluk Islam dan bergelar Malikul Salleh. Rakyat Pasai turut memeluk Islam kemudiannya.


  • Peranan Pemerintah di Nusantara :

Penyebaran Islam di Tanah Melayu sangat berkait rapat dengan peranan pemerintah. Minat dan sokongan raja-raja dan pembesar-pembesar negeri terhadap gerakan penyebaran Islam sangat penting. Contohnya, sultan-sultan di Acheh terlibat secara langsung dalam kegiatan ilmu pengetahuan dan penyebaran Islam. Antaranya ialah Sultan Alauddin Riayat Syah dan Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam. Syamsuddin al-Sumaterani dihantar ke Pahang untuk meyebarkan dakwah Islamiah. Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam turut menjadikan Acheh sebagai pusat pengajian dan kebudayaan Islam sehingga digelar sebagai Serambi Mekah. Institusi istana menjadi pusat pendidikan pengajian ilmu dan penyebaran Islam. Peranan sultan Melaka seperti Sultan Alauddin Riayat Syah dan Sultan Mansur Syah. Sultan Muzaffar Syah.


  • Hubungan Diplomatik :

Penyebaran Islam di Tanah Melayu turut didorong oleh faktor hubungan diplomatik dengan negara luar seperti Kerajaan Moghul di India dan Makkah. Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam di Acheh misalnya mengadakan hubungan diplomatik dengan kerajaan Islam seperti Gujerat, Malabar, Turki, Mesir, Mekah dan lain-lain. Pada zaman baginda, Acheh telah dikunjungi oleh para ulama seperti Sheikh Abdul Kadir Ibn Hajar dan Sheikh Muhammad Yamani dari Mekah.


  • Perlaksanaan Perundangan Dan Keadilan :

Hukum Kanun Melaka mempunyai unsur-unsur Islam. Jadi perlaksanaan undang-undang ini mewujudkan keadilan dalam masyarakat


  • Faktor Institusi Pendidikan :


Contoh Istana-istana, pondok, balai gadang, Jamiah Baitul Rahman. Para pelajar yang menerima ilmu pengetahuan dan ajaran Islam akan menyebarkan pula di tempat masing-masing setelah tamat pengajian.

Sumbe Rujukan (Buku) Atlas Penyebaran Islam - Dr SYAUQI ABU KHALIL

No comments:

Post a Comment